
CYBERJAYA: Kerajaan bersedia mempertimbangkan pemotongan gaji menteri Kabinet jika keadaan ekonomi bertambah buruk akibat krisis tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gaji menteri di Malaysia masih munasabah berbanding tanggungjawab yang dipikul, selagi prestasi mereka baik.
Beliau menegaskan keutamaan kini adalah memastikan menteri menjalankan tugas dengan berkesan demi rakyat, bukan isu pemotongan gaji.
“Gaji kita relatif memang rendah gaji-gaji menteri, tetapi yang penting mereka bekerja dengan baik. Macam saya, saya tidak ada masalah tidak mengambil gaji, namun gaji itu hak mereka selagi mereka menjalankan tugas dengan baik, saya fikir (kadar itu) munasabah.
“Bagaimanapun, tidak ada halangan (pemotongan gaji menteri) kalau keadaan ekonomi ini lebih meruncing perkara itu akan difikirkan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan meneliti cadangan pemotongan gaji menteri seperti yang dilaksanakan di Indonesia.






