
KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melangkah ke fasa pelaksanaan dan penyampaian selepas melengkapkan proses penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh.
Langkah drastik yang dilaksanakan sepanjang dua bulan lalu itu merangkumi penyusunan semula aspek tadbir urus, pengurusan dan operasi bagi memperkukuh integriti serta mewujudkan struktur kerja yang lebih telus.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz, berkata organisasi itu kini berada dalam jajaran yang jelas bagi menyokong hala tuju Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperkasakan modal insan negara di bawah kerangka MADANI.
Beliau turut menghargai peranan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, yang menjadi penggerak utama dalam membentuk momentum dan disiplin pelaksanaan proses ‘reset’ berkenaan.
“Reset telah selesai. Kita kini bergerak ke hadapan dengan disiplin, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan.
“Di peringkat pengurusan, isu-isu legasi daripada dapatan audit dan penemuan kawal selia sebelum ini telah sebahagian besarnya diselesaikan, dengan penyerahan kini dibuat kepada pihak berkuasa.
“Penstrukturan organisasi telah disempurnakan sepenuhnya termasuk penempatan semula dan penyelarasan berdasarkan kompetensi serta fungsi pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, bidang kritikal seperti perundangan, audit dan penguatkuasaan telah diperhebat bagi memantapkan lagi tadbir urus serta pematuhan.
“Selain itu, kawalan terhadap tuntutan latihan dan penggunaan levi kini diperketatkan bagi memastikan akauntabiliti yang lebih tinggi.
“Di bawah prosedur operasi standard (SOP) baharu, latihan hanya boleh dilaksanakan selepas kelulusan awal diperoleh.
“Ini membolehkan pasukan penguatkuasaan melakukan pengesahan aktiviti di lapangan secara langsung,” katanya.
Beliau memberitahu, bagi memastikan kesinambungan prestasi, HRD Corp turut mengisi jawatan utama yang sebelum ini kosong dengan pelantikan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu.
Shamir menegaskan, fokus utama HRD Corp adalah untuk memulihkan keyakinan serta memastikan pekerja dan perniagaan Malaysia bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.







