
JASIN: Aksi berbahaya seorang bekas pemandu bas ekspres yang meriba teman wanitanya ketika memandu membawa padah apabila kedua-duanya dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dipenjara selama setahun manakala kekasihnya, Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah turut mengenakan denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh, dengan tambahan dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Mazana Sinin selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan pasangan terbabit hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh lima tahun.
Kes tersebut mendapat perhatian ramai selepas video memaparkan aksi berkenaan tular di media sosial, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memandu kenderaan bas dengan nombor pendaftaran APE 9588 secara berbahaya kepada orang awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada jam 7.30 petang, 12 April lalu.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu mengundang kecaman masyarakat kerana berpotensi mengancam nyawa penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Kes berkenaan sekali lagi menjadi peringatan kepada semua pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan ketika memandu.





