
KUALA LUMPUR: Program Pendigitalan Koleksi dan Pameran Maya Muzium Alam Semula Jadi dilancarkan sebagai langkah strategik memperkukuh pemeliharaan warisan negara di samping memperluas akses masyarakat melalui teknologi digital.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, inisiatif itu mencerminkan iltizam kerajaan dalam mentransformasikan institusi muzium agar kekal relevan dalam era digital.
“Pelaksanaan program ini bukan sahaja memperkasa pemeliharaan warisan negara, malah membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk mengakses ilmu dan khazanah negara secara lebih interaktif serta inklusif,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut.
Majlis pelancaran yang berlangsung penuh bermakna itu menzahirkan kesyukuran atas usaha bersepadu pelbagai pihak dalam menjayakan inisiatif berimpak tinggi berkenaan.
Menurut Haslina, pendigitalan merupakan pemangkin penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan muzium menjadi lebih cekap dan berkesan kepada rakyat.
“Pendigitalan ini membolehkan warisan negara tidak lagi terhad kepada ruang fizikal semata-mata, sebaliknya dapat dibawa lebih dekat kepada masyarakat melalui medium digital yang mudah diakses,” ujarnya.
Menerusi program itu, sebanyak 255 koleksi berjaya didigitalkan melibatkan koleksi etnologi dan alam semula jadi, termasuk 135 artifak etnologi pelbagai kaum serta 11 daripadanya tersenarai dalam Daftar Warisan Kebangsaan.
Pameran maya yang diperkenalkan membolehkan orang ramai menelusuri 120 spesimen flora dan fauna secara interaktif melalui teknologi realiti maya (VR) dan capaian dalam talian.
Haslina turut menegaskan bahawa pendigitalan berperanan sebagai jambatan dalam memperkukuh perpaduan sosial dalam masyarakat majmuk.
“Apabila warisan negara dapat diakses oleh semua, ia membantu memupuk kefahaman, keharmonian dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Pada masa sama, pendekatan digital ini dilihat mampu menarik minat generasi muda yang lebih dekat dengan teknologi, sekali gus melahirkan generasi celik warisan dan beridentiti nasional yang kukuh.
Secara keseluruhannya, program berkenaan menjadi langkah tepat dalam memperkasa institusi permuziuman sebagai pusat rujukan utama serta pemelihara khazanah negara dalam landskap digital masa kini.





