
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkukuh intervensi secara menyeluruh bagi menangani isu kehilangan pekerjaan dan memelihara kesejahteraan tenaga kerja negara.
Dalam satu kenyataan, KESUMA berkata, usaha itu dilaksanakan melalui program latihan semula kemahiran, serta peningkatan kemahiran berfokus kepada kemahiran masa hadapan seperti automasi, e-dagang dan teknologi digital melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Platform MyMahir di bawah TalentCorp.
“KESUMA turut mempergiat padanan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs dan penganjuran karnival kerjaya bersasar khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur, di samping melaksanakan intervensi awal bersama majikan berisiko bagi mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.
“Pendekatan ini memastikan peralihan pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, seterusnya meminimumkan tempoh pengangguran dan memelihara kesejahteraan tenaga kerja negara,” kata kenyataan itu.
KESUMA memberitahu, pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung peningkatan kes kehilangan pekerjaan yang tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur bagi Mac 2026, dengan data semasa merekodkan 5,900 kes kehilangan pekerjaan di Malaysia pada Mac, iaitu penurunan sebanyak 21.3 peratus berbanding 7,500 kes pada bulan sebelumnya.
Kata kenyataan itu,walaupun jumlah keseluruhan menunjukkan trend penurunan, tumpuan kes di Selangor dan Kuala Lumpur adalah sejajar dengan kedudukan kedua-dua negeri sebagai hab ekonomi utama negara yang mempunyai kepadatan tenaga kerja tinggi.
Dalam masa yang sama, KESUMA menambah, perkembangan pasaran buruh menunjukkan tanda positif dengan peningkatan peluang pekerjaan kepada sekitar 107,000 kekosongan pada bulan Mac, mencerminkan daya tahan ekonomi domestik yang berterusan.
“Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap perlindungan keselamatan sosial pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus komited untuk memastikan kebajikan pekerja yang terjejas sentiasa terpelihara melalui pelaksanaan inisiatif di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
“Selain daripada penempatan pekerjaan dan sokongan kewangan, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) melaksanakan langkah intervensi strategik bagi melindungi kebajikan pekerja yang berhadapan dengan penamatan perkhidmatan,” katanya.
KESUMA menegaskan Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan proaktif dan berpandangan ke hadapan dalam memastikan keseimbangan antara kestabilan pasaran buruh serta kesejahteraan pekerja khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Sehubungan itu, kenyataan itu menjelaskan, KESUMA bersama JTKSM, JPP, PERKESO dan TalentCorp akan terus memantau perkembangan tersebut secara berterusan.
Katanya, KESUMA juga akan memperkukuh langkah intervensi awal bagi memastikan tempoh pengangguran dapat diminimumkan dan pekerja dapat kembali ke pasaran kerja dengan segera.
Orang ramai yang terjejas disaran mendapatkan bantuan danmaklumat lanjut melalui portal MYFutureJobs www.myfuturejobs.gov.my.





