
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk pelaksanaan Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) bagi tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program berkenaan akan diperluaskan ke 13 negeri itu menyasarkan penyertaan seramai 5,000 ibu tunggal di seluruh negara.
Menurutnya, program yang diperkenalkan tahun lalu di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu turut mengekalkan tiga modul utama iaitu kemahiran perundangan, pengurusan dan literasi.
“Bagi memudahkan penyertaan ibu tunggal dari seluruh negara, pelaksanaan program akan dibuat dalam dua fasa iaitu fasa satu secara dalam talian yang merangkumi sesi advokasi dan pengenalan.
“Fasa dua pula akan dilaksanakan secara fizikal. Pendaftaran program telah dibuka mulai 1 Februari lalu dan akan berakhir pada 20 April ini,” katanya ketika berucap merasmikan KasihnITa 2026 di sini hari ini.
Nancy menambah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus berusaha untuk melaksanakan inisiatif yang benar-benar memberi manfaat kepada ibu tunggal.
Katanya, kementerian berharap KasihnITa akan terus menjadi jambatan antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam usaha bersama memperkasa ibu tunggal untuk bangkit, berdikari serta membina masa hadapan yang lebih cerah.
“Selain itu, Bantuan Guaman juga diteruskan kepada peserta yang layak, dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM2 juta yang akan memberi manfaat kepada 500 permohonan kes tuntutan baharu dalam kalangan peserta yang berdaftar.
“Pada tahun ini, kelayakan penerima Bantuan Guaman juga akan diperhalusi dengan lebih menyeluruh supaya bantuan yang diberikan benar-benar dapat membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.





