
KUALA LUMPUR : Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Maju Expressway (MEX), sebentar tadi.
Perkara itu disahkan pengurusnya, Rozi Abdul Razak yang mengatakan insiden tersebut berlaku ketika Siti Nurhaliza dalam perjalanan pulang selepas selesai mengadakan persembahan.
“Ramai yang menghubungi kami bertanya tentang @ctdk Siti Nurhaliza. Kami dua kereta baru selesai mengadakan persembahan di RedQ AirAsia Sepang dan sewaktu melalui lebuh raya MEX (KM14.2), berlaku kemalangan.
“Empat kereta terlibat termasuk kereta yang dinaiki Siti dan saya serta @cteafairuz berada berjarak beberapa kereta di belakang.
“Kami membawa Siti keluar dari kereta yang kemalangan dan masuk ke dalam kereta kami.
“Siti telah ke hospital, mengalami lebam dan bengkak bahagian kaki.
“Alhamdulillah, segalanya selamat dan terima kasih di atas doa semua,” katanya sebagaimana dipetik dalam akaun Instagram @rozisangdewi, yang turut dikongsi Siti Nurhaliza.
Kemalangan membabitkan penyanyi nombor satu negara itu mula tular selepas seorang pengguna media sosial memuat naik hantaran di Threads mendakwa ternampak penyanyi berkenaan di lokasi kejadian.







