
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin memberi jaminan bahawa Malaysia tidak berdepan krisis makanan dan bekalan masih mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.
Beliau berkata, bekalan makanan asas negara kekal hasil langkah mitigasi yang diambil kerajaan seperti meningkatkan stok simpanan beras daripada enam bulan kepada sembilan bulan.
“Apa yang kita lihat sekarang ini ialah krisis tenaga, bukan krisis makanan dan bekalan makanan tetap ada,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program KPKM Dunia Agro+ hari ini.
Chan berkata, bekalan barangan lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan juga berada pada tahap mencukupi, walaupun harga mungkin berubah mengikut musim.
Katanya, faktor bermusim menyebabkan harga sayur-sayuran boleh naik atau turun pada sesuatu masa dan tidak semestinya berpunca sepenuhnya daripada krisis tenaga global.
Selain itu Chan memberi jaminan bekalan baja negara masih mencukupi untuk tempoh beberapa bulan akan datang, dengan stok sedia ada dijangka mampu bertahan melepasi Julai walaupun terdapat sekatan eksport oleh beberapa negara.
Mengulas isu kenaikan kos dan cadangan menaikkan harga lantai padi susulan kenaikan harga diesel, beliau berkata, kerajaan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan.
Namun, beliau mengakui ia bukan keputusan mudah, memandangkan kerajaan kini menanggung beban subsidi yang tinggi susulan krisis tenaga global.
“Kerajaan tidak akan menutup ruang perbincangan, tetapi kita perlu mengambil kira implikasi kewangan kerana perbelanjaan berkaitan subsidi ketika ini mencecah berbilion ringgit,” katanya.





