
KUALA LUMPUR: Pas Melaka mempersoalkan cadangan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik geopolitik.
Ketua Penerangan Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, cadangan itu dilihat bercanggah dengan pendirian pihak sama yang sebelum ini mengkritik pelaksanaan darurat pada 2021 ketika pandemik Covid-19, yang dilabel sebagai langkah politik untuk menyelamatkan kerajaan.
“Namun hari ini, cadangan penangguhan pilihan raya dalam keadaan negara stabil tanpa sekatan besar, menimbulkan persepsi bahawa tindakan itu mempunyai motif politik yang serupa.
“Sistem pentadbiran negara kini berfungsi seperti biasa tanpa keperluan sekatan pergerakan atau larangan perhimpunan awam.
“Oleh itu, sebarang usaha menangguhkan PRN dalam keadaan ini boleh dilihat sebagai cubaan mengelakkan penilaian rakyat terhadap prestasi kerajaan,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook.
Ahmad Bilal berkata, cadangan penangguhan PRN itu muncul ketika momentum politik semasa dilihat menunjukkan perubahan sokongan rakyat yang semakin ketara.
Beliau mendakwa berdasarkan perkembangan terkini, dilihat ada kecenderungan bahawa parti dalam kerajaan, khususnya UMNO, bakal berdepan penyusutan kerusi yang signifikan.
Beliau juga mendakwa bahawa pada masa sama, sokongan kepada DAP serta PKR, terutama dalam kalangan pengundi Cina, dilihat kian terhakis akibat kekecewaan terhadap situasi ekonomi dan pentadbiran semasa.
Namun dalam sebuah negara demokrasi, katanya, mandat rakyat adalah asas utama, sekali gus hak mereka untuk memilih pemimpin tidak wajar disekat atas alasan tidak munasabah.
“Justeru, saya menegaskan PRN perlu diteruskan mengikut jadual bagi memastikan proses demokrasi dihormati dan suara rakyat terus terpelihara.
“Kepimpinan yang berintegriti seharusnya bersedia untuk diuji di hadapan rakyat, bukan mencari alasan bagi menangguhkan proses terbabit,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan membawa usul bagi menangguhkan PRN Johor dan PRN Melaka, ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan diadakan di Melaka esok, susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Katanya berdasarkan pandangan logik politik, tidak mungkin pilihan raya dapat dilaksanakan dalam keadaan geopolitik tidak menentu dengan kesusahan dialami rakyat ketika ini.







