
KUALA LUMPUR: Sektor swasta disaran mengamalkan dasar bekerja dari rumah (BDR) sebagaimana dilaksanakan dalam sektor awam bagi membantu mengurangkan kos operasi dan perbelanjaan perjalanan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, langkah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat dan pekerja, malah berpotensi mengurangkan beban subsidi kerajaan yang boleh disalurkan kepada keperluan lain.
Menurut beliau, majikan dalam sektor swasta boleh mempertimbangkan pelaksanaan BDR sehingga tiga hari seminggu, dengan Isnin dan Jumaat kekal sebagai hari bekerja di pejabat kerana kepentingannya dalam urusan mingguan.
“Sebahagian besar sektor perbankan serta syarikat multinasional telah lebih awal melaksanakan pendekatan ini, malah sebelum dasar BDR diperkenalkan kerajaan.
“Kita berharap lebih banyak syarikat swasta akan mengikut langkah sama dalam usaha menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan kebergantungan kepada subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi dialog ‘Work, Wages and Future’ bersama Concorde Club di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Terdahulu, kerajaan mula melaksanakan dasar BDR di seluruh negara semalam susulan tekanan tenaga global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
Pelaksanaan itu melibatkan penjawat awam Persekutuan di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor serta semua ibu negeri yang tinggal melebihi lapan kilometer dari tempat kerja.
Bagaimanapun, dasar tersebut tidak melibatkan petugas dalam sektor keselamatan, pertahanan, kesihatan dan pendidikan.
Pelaksanaannya juga berbeza mengikut negeri, iaitu negeri yang bercuti pada Ahad melaksanakan BDR dari Selasa hingga Khamis, manakala negeri bercuti Jumaat melaksanakannya dari Isnin hingga Rabu.
Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan produktiviti, Ramanan menjelaskan pemantauan dilaksanakan melalui aplikasi ‘Spot Me’.
“Kakitangan perlu mengemas kini tugasan setiap satu atau dua jam bagi memastikan kerja berjalan lancar.
“Langkah ini penting untuk mengelakkan sebarang kelompongan dan memastikan disiplin kerja terus terpelihara walaupun bekerja dari rumah,” ujarnya.







