
KUALA LUMPUR: Pelakon Norish Karman mendedahkan pernah melalui detik sukar apabila terpaksa ‘berumah’ dalam kereta bersama empat anaknya selama hampir dua bulan selepas bercerai.
Menurut Norish, keadaan itu berlaku susulan kegagalan bekas suaminya menjelaskan bayaran ansuran rumah menyebabkan dia terpaksa keluar dari kediaman tersebut.
Katanya, kekangan kewangan untuk menyediakan wang pendahuluan bagi rumah baharu memaksanya memilih untuk tinggal di dalam kereta demi meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
“Ketika itu, kami mandi di gimnasium dan meletakkan kenderaan di kawasan restoran mamak 24 jam bagi faktor keselamatan.
“Jika tidak dapat tidur, kami hanya berehat dan makan di situ,” katanya menerusi program audio siar Legasi Podcast,” katanya.
Dia memberitahu, meskipun menerima pelawaan rakan-rakan untuk menumpang tinggal tetapi memilih untuk berdikari bagi mengelakkan rasa terhutang budi serta menjaga hubungan persahabatan.
“Saya yakin Allah SWT tidak kejam dan suatu hari nanti kehidupan kami akan berubah menjadi lebih baik.
“Saya tidak mahu apabila sudah senang kelak, saya terleka sehingga tidak dapat membalas jasa rakan-rakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norish meluahkan rasa syukur kerana anak-anaknya tidak pernah merungut walaupun terpaksa hidup dalam serba kekurangan.
Katanya, mereka tetap tabah walaupun hanya berbekalkan wang tunai yang terhad dan menjamah makanan ringkas.
“Mereka boleh memilih kehidupan lebih selesa, tetapi tetap setia bersama saya. Mereka adalah kekuatan saya,” katanya.
Dia turut memaklumkan anak-anaknya tidak pernah mempersoalkan latar belakang empat anak angkat yang dibesarkan bersama, selain menunjukkan sikap berdikari dalam kehidupan seharian.
Menurut Norish, ibu bapanya juga tidak mengetahui kesukaran yang dihadapi ketika itu kerana dia tidak mahu mereka berasa bimbang.
Kehidupan mereka bagaimanapun kembali stabil selepas dia mengusahakan perniagaan katering yang akhirnya mendapat tempahan berskala besar.
Norish pernah berkahwin dengan usahawan, Hashimuddin Abdul Kadir pada 1998 sebelum berpisah pada 2008 dan dikurniakan tiga cahaya mata selain empat anak angkat.






