
PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka melaksanakan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun seawal hujung Jun ini sebagai langkah memperkukuh perlindungan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan itu bagaimanapun masih tertakluk kepada penelitian akhir oleh pihak berkaitan.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ketika ini sedang menjalankan medan uji (regulatory sandbox) bersama penyedia platform media sosial bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan sekatan tersebut.
“Kita juga meneliti kaedah yang sesuai untuk diseragamkan dengan mekanisme sedia ada oleh platform.
“Kita tidak mahu sekadar menggunakan pendekatan jaminan umur (age assurance), sebaliknya memberi penekanan kepada pengesahan umur (age verification) memandangkan Malaysia mempunyai dokumen rasmi seperti MyKad,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Fahmi berkata, MCMC sudah mengadakan perbincangan terperinci dengan beberapa platform media sosial di Singapura baru-baru ini berhubung perkara itu.
Katanya, hasil perbincangan berkenaan kini dalam proses penelitian sebelum dibentangkan kepada beliau dalam masa terdekat bagi keputusan lanjut.
“Dalam tempoh seminggu akan datang, perkara ini akan dibawa untuk pertimbangan sebelum kita memuktamadkan pelaksanaan, sama ada pada Jun atau Julai,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan beberapa platform media sosial sudah menyatakan kesediaan untuk melaksanakan sekatan tersebut.
Fahmi menjelaskan pendekatan Malaysia berbeza dengan model yang digunakan di Australia kerana negara ini memanfaatkan kerangka perundangan serta penggunaan MyKad sebagai elemen tambahan dalam pengesahan identiti dan umur pengguna.
Australia sebelum ini meluluskan undang-undang melarang penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun yang mula berkuat kuasa pada 10 Disember lalu.




