
KUALA LUMPUR: Datuk Rusli Jaafar dilantik Pengerusi baharu Human Resource Development Corporation (HRD Corp) berkuat kuasa 1 April 2026.
Beliau memiliki pengalaman luas selama lebih 32 tahun dalam sektor perkhidmatan awam memulakan perkhidmatan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang sebelum itu dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia pada tahun 1993.
Pada tahun 2022, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SKM sehingga 2025.
Dalam kenyataan HRD Corp, Rusli yang merupakan pemegang Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Rusli memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor kewangan dan ekonomi sebagai pemacu strategik pembangunan negara yang inklusif serta mampan.
“Sepanjang kerjayanya, beliau memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan merangkumi bidang dasar, operasi, tadbir urus dan hal ehwal antarabangsa serta menerajui pelbagai inisiatif strategik termasuk pelan pendigitalan SKM dan pembangunan dasar koperasi negara.
“Di bawah kepimpinan beliau, SKM mencatat perkembangan memberangsangkan sehingga Disember 2025, jumlah aset keseluruhan gerakan koperasi di Malaysia yang diuruskan oleh SKM dianggarkan mencecah RM186 bilion dengan jumlah syer dan yuran melebihi RM18 bilion.
“Ia sekali gus mencerminkan peranan signifikan sektor koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara,” kata kenyataan itu.
Sehingga tahun 2025, ujar kenyataan itu lagi, jumlah tunggakan pembiayaan di bawah Tabung Modal Pusingan SKM (TMP-SKM) berjaya dikurangkan kepada RM11.33 juta daripada RM20.67 juta sebelum ini.
Katanya, walaupun negara berdepan cabaran pasca pandemik COVID-19, SKM berjaya mengurangkan tunggakan dalam kalangan koperasi hasil daripada pelaksanaan beberapa strategi berkesan yang diterajui Rusli.
“Pada tahun 2024, buat pertama kali, pendaftaran koperasi di bawah SKM telah melepasi 1,000 koperasi setahun berbanding purata sekitar 600 koperasi setahun sebelum itu.
“Pencapaian ini merupakan hasil pelaksanaan program-program kesedaran dan galakan berkoperasi secara lebih agresif dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, SKM turut berjaya memperoleh pengiktirafan Sijil Audit Bersih bagi penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2022, 2023 dan 2024,” kata kenyataan itu lagi.
Rusli turut diiktiraf melalui beberapa Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada tahun 2024.
Di bawah kepimpinan Rusli, SKM turut menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan Penghargaan Khas Organisasi pada Majlis Malam Anugerah Francais Malaysia 2024.
Menurut kenyataan tersebut, pelantikan Rusli mencerminkan komitmen HRD Corp untuk terus memperkukuh mandatnya dalam menerajui pembangunan kemahiran, latihan tenaga kerja dan kelestarian modal insan.
Katanya, ia juga sejajar dengan keutamaan nasional serta keperluan majikan dan tenaga kerja yang sentiasa berkembang.







