
KUALA LUMPUR: Pelakon Azar Azmi terharu dan bersyukur selepas menerima bantuan wang tunai sebanyak RM40,000 daripada usahawan sensasi, Aliff Syukri dalam satu penstriman langsung, baru-baru ini.
Azar atau nama penuhnya Siti Azar Ameerah Azmi, 35, berkata dia tidak menyangka akan menerima bantuan sebesar itu, apatah lagi ketika berdepan kesempitan hidup.
“Saya menerima apa sahaja tawaran kerja yang Datuk Aliff berikan. Jumlah wang hari ini sangat besar bagi saya.
“Sejujurnya, saya terhutang budi dan apa yang beliau lakukan ini melebihi jangkaan saya,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Menurutnya, bantuan itu akan digunakan untuk keperluan anak-anak selain meringankan beban kewangan yang ditanggung ketika ini.
Sementara itu, Aliff berkata, bantuan berkenaan diberikan atas dasar empati terhadap keadaan Azar yang kini berdepan kesukaran hidup.
“Saya membantu seorang wanita yang mengalami kesusahan. Dia datang kepada saya untuk memohon kerja sebagai pembungkus barang dengan gaji RM1,700.
“Namun hari ini saya bantu dia. Ini bukan duit saya semata-mata, tetapi hasil sokongan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan menawarkan pekerjaan kepada Azar di syarikat miliknya, sama ada sebagai kerani atau pembungkus barang dengan gaji sekitar RM2,000.
Aliff merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membeli produk jualannya sehingga membolehkan bantuan tersebut disalurkan.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin. Anda semua membeli sambil beramal,” katanya.
Azar turut memaklumkan dia kini tidak mempunyai akaun bank serta akaun media sosial susulan kes dakwaan penipuan sebelum ini.
Terdahulu, pelakon drama Nur 2 itu menjadi perhatian apabila dia bersama suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, didakwa di mahkamah bagi kes berkaitan.
Azar dibebaskan dan kini menjadi saksi pendakwaan dalam kes berkenaan, manakala suaminya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.







