
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh keputusan bagi kes saman berjumlah AS$14.57 juta yang difailkan syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kehilangan lebih 40 barangan kemas.
Hakim Datuk Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu selepas prosiding pendengaran kes selesai hari ini, termasuk keterangan saksi keenam pihak ketiga, Chong Tong Leong yang mewakili Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia.
Menurut mahkamah, semua pihak diarahkan memfailkan hujahan bertulis sebelum 13 Mei, manakala hujahan balas perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 28 Mei.
“Keputusan akan disampaikan pada 10 Jun depan, pukul 9 pagi menerusi platform Zoom,” katanya.
Terdahulu, Tong Leong, 53, dalam keterangannya memaklumkan beliau menjalankan kerja pengubahsuaian di sebuah unit kondominium di Pavilion Residences antara Mac hingga Mei 2018 selepas dihubungi individu dikenali sebagai Nadziff.
Beliau berkata, pada 14 Mei 2018 sekitar pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari, dia kembali ke unit berkenaan untuk pemeriksaan sebelum pemasangan pendingin hawa dan mendapati beberapa beg besar berada dalam sebuah bilik di tingkat bawah yang sebelum itu tidak berada di situ.
“Melihat keadaan itu, saya terus keluar dari unit dan menghubungi Nadziff sebelum diminta menghentikan sementara kerja pengubahsuaian. Saya kemudian memulangkan kad akses serta kunci unit selepas kerja selesai,” katanya.
Tong Leong turut menjelaskan kerja pengubahsuaian bernilai RM10,000 itu melibatkan pembaikan keseluruhan unit termasuk pemasangan pendingin hawa, dengan bantuan seorang pekerja tempatan serta lima pekerja warga Myanmar.
Katanya, kerja tersebut dijalankan setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang dan ditangguhkan selama dua minggu pada awal Mei bagi menunggu ketibaan pendingin hawa.
“Hanya saya mempunyai akses ke unit itu dan saya sentiasa berada bersama pekerja sepanjang kerja dijalankan setiap hari,” katanya.
Semalam, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, memaklumkan mahkamah puluhan bagasi berisi wang tunai dan barangan kemas ditemui bertaburan di lantai ketika serbuan polis di sebuah kondominium mewah di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018.
Pendengaran kes berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lalu, membabitkan keterangan Pengarah Urusan Global Royalty SAL, Samer Hassib Halimeh sebagai saksi tunggal plaintif, diikuti Rosmah sebagai defendan serta enam saksi pihak ketiga termasuk pegawai kanan polis.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah dengan mendakwa beliau membuat kenyataan tidak benar mengenai 44 barangan kemas yang diserahkan oleh ejen syarikat telah dirampas pihak berkuasa Malaysia mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat yang berpangkalan di Beirut itu mendakwa hanya satu daripada 44 barangan kemas berkenaan berada dalam simpanan pihak polis, manakala selebihnya tidak berada dalam jagaan mereka.
Global Royalty turut mendakwa Rosmah cuba meletakkan tanggungjawab terhadap kerajaan Malaysia sedangkan barangan kemas itu sebenarnya sudah hilang.







