
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memberi jaminan bekalan bahan api di seluruh negara mencukupi sehingga akhir Jun 2026.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak nasional itu memaklumkan pihaknya akan terus mengurus rantaian bekalan secara proaktif bagi memastikan stok mencukupi di semua stesen minyak, meskipun berdepan ketidaktentuan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Menurut kenyataan itu, Petronas membekalkan sebanyak 50 peratus keperluan bahan api negara menerusi anak syarikatnya, Petronas Dagangan Berhad, manakala selebihnya disediakan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
“Petronas kekal komited dalam memastikan bekalan bahan api yang stabil dan boleh dipercayai kepada seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai disaran supaya menggunakan bahan api secara berhemah mengikut keperluan harian serta mengelakkan pembelian panik atau berlebihan.
“Penggunaan secara bertanggungjawab akan membantu memastikan bekalan terus mencukupi untuk semua,” katanya.




