
SHAH ALAM: Lebih 200,000 penjawat awam terlibat dengan pelaksanaan arahan bekerja dari rumah (BDR) yang akan bermula esok.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kelulusan pelaksanaan BDR bagaimanapun bergantung kepada ketua jabatan masing-masing, berdasarkan faktor keperluan dan kesesuaian tugas.
“Sistem BDR sedia ada mampu menampung sehingga 200,000 penjawat awam, namun bukan semua akan diluluskan kerana ia tertakluk kepada pertimbangan ketua jabatan,” katanya selepas merasmikan Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, hari ini.
Beliau turut menegaskan pelaksanaan BDR tidak boleh dijadikan alasan melambatkan atau menangguhkan program dirancang, sebaliknya penjawat awam perlu menyemak semula pelaksanaan program agar selaras dengan dasar penjimatan semasa tanpa membatalkan keperluan penting.
Susulan krisis tenaga global dan sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan kos, kerajaan bersetuju melaksanakan dasar BDR melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta GLC bermula 15 April ini.
Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam itu bertujuan memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, di samping mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global.
Bagaimanapun dasar itu hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.
Dasar itu juga tidak termasuk kakitangan awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan serta kesihatan dan pendidikan.






