
KUALA LUMPUR : Polis menemui banyak wang tunai dan barang kemas melimpah keluar daripada puluhan bagasi dan kotak dalam satu serbuan di kediaman mewah di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, keseluruhan barangan itu ditemui dalam 71 bagasi, 284 kotak beg tangan serta satu kotak plastik lutsinar ketika operasi dijalankan di kediaman yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes saman berjumlah AS$14.57 juta difailkan syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, yang melibatkan lebih 40 barangan kemas di Mahkamah Tinggi, pada Selasa.
Menurutnya, pemeriksaan di unit residensi berkenaan dibuat susulan unsur mencurigakan berkaitan bahan bukti dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tambahnya, ketika tiba di kediaman tersebut kira-kira jam 6.30 petang, unit berkenaan didapati kosong tanpa kehadiran penghuni.
“Di salah satu bilik di unit tersebut, saya bersama pegawai dan anggota serbuan menemui 71 bagasi, satu kotak plastik dan lebih 284 kotak berisi beg tangan.
“Sebanyak 35 beg berisi wang tunai pelbagai mata wang, 25 beg (barang kemas), enam beg (jam tangan), tiga beg (cermin mata hitam) dan masing-masing satu beg berisi dompet, sarung dan barang kemas.
“Semua beg tersebut telah dibungkus dengan tergesa-gesa kerana saya dapati wang pelbagai mata wang berselerak di dalam beg tersebut malah barang kemas dibungkus menggunakan plastik.
“Pada mulanya, kami ingin mengira setiap barang tersebut namun sebaik membuka beberapa beg, pihak polis mendapati jumlahnya terlalu banyak.
“Beg berisi wang tunai dibungkus dengan longgar sampaikan isi kandungan melimpah keluar sehingga berterabur di atas lantai,” katanya.
Katanya,tidak dapat dibayangkan sekiranya beliau perlu menulis setiap satu barang kemas terbabit.
Menjawab soalan Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin yang mewakili pihak ketiga, Amar Singh berkata, pihak polis yang membuat serbuan bukan pakar dalam menentukan semua barang itu merupakan emas atau berlian, bersifat tulen atau palsu.







