
KUALA LUMPUR: Bandar dan sektor persekitaran binaan kini perlu menyesuaikan keadaan dengan perubahan dinamik bekalan susulan landskap pasaran tenaga global yang semakin tidak menentu akibat ketegangan geopolitik.
Sehubungan itu, pelancaran Minggu Kemampanan Antarabangsa (ISW) 2026 diawalkan sebagai satu anjakan penting dalam agenda kelestarian negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pelancaran itu menandakan peralihan penting dalam pendekatan terhadap kelstarian melibatkan pelaksanaan yang berimpak.
Katanya, peranan bangunan perlu berkembang seiring dengan cabaran semasa.
“Amalan lestari dan pembangunan bandar bersepadu akan menjadi asas kepada daya tahan dan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.
“ISW 2026 menyediakan platformberstruktur untuk menggerakkan pihak berkepentingan daripada perbincangan kepada pelaksanaan, sekali gus memastikan impak sebenar kelestarian dapat direalisasikan pada skala besar,” katanya dalam Majlis Pelancaran Awal ISW 2026, di sini hari ini.

Pelancaran itu turut menyaksikan pencapaian penting industri, apabila GreenRE melepasi 500 juta kaki persegi keluasan lantai kasar (GFA) yang diperakui, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat dalam pelaksanaan piawaian bangunan hijau yang disahkan dalam sektor hartanah Malaysia.
Pengerusi GreenRE, Datuk Seri FD Iskandar berkata pencapaian ini mencerminkan kesiapsiagaan industri yang semakin kukuh.
“Pensijilan merupakan penghubung antara tuntutan hijau dan realiti sebenar. Pencapaian 500 juta kaki persegi ini menunjukkan skala piawaian yang disahkan memainkan peranan besar dalam membentuk persekitaran binaan selari dengan jangkaan pelabur, penyewa dan pengawal selia.
“Ia menandakan peralihan dalam industri daripada komitmen kepada pelaksanaan dengan kelestarian bukan lagi aspirasi semata-mata, tetapi diintegrasikan dalam cara mereka bentuk, membina dan mengendalikan bangunan.
“Ketika tekanan tenaga dan iklim semakin meningkat, peranan rangka kerja yang berwibawa dan boleh diukur seperti GreenRE menjadi semakin kritikal dalam memastikan kelestarian memberikan nilai sebenar, bukan sekadar niat,” katanya.

ISW 2026 akan berlangsung pada 10 hingga 11 September ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) bersempena World Green Building Week.
Acara itu merupakan evolusi kepada International Green Build Conference (IGBC) yang kini memasuki edisi keenam dengan pengenalan komponen baharu, GreenScape: International Green Innovation Exhibition.
Bertemakan “From Certification to Transformation: Building a Net Zero Future Together”, program berkenaan dijangka menampilkan lebih 20 penceramah antarabangsa, 100 pempamer inovasi serta kira-kira 1,000 delegasi persidangan.
Sekitar 5,000 pengunjung dijangka menghadiri acara berkenaan yang menghimpunkan pembuat dasar, pemain industri dan penyedia penyelesaian dalam satu platform.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kolaborasi antara Qube Integrated Malaysia dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation bagi memperkukuh kerjasama dalam memacu agenda kemampanan negara.
Pengerusi Eksekutid Qube Integrated Malaysia, Richard Teo berkata, cabaran utama ketika ini bukan lagi kesedaran, tetapi pelaksanaan.
“ISW 2026 menghimpunkan dasar, piawaian dan keupayaan industri bagi mempercepat pelaksanaan kelestarian, khususnya ketika bandar berkembang ke arah skala mega,” katanya.




