
SHAH ALAM : Cadangan menangguhkan pilihan raya atas alasan ketegangan geopolitik di Asia Barat disifatkan sebagai langkah tidak wajar yang berpotensi mencabar asas demokrasi negara.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung menegaskan, gesaan segelintir pihak termasuk untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka susulan perkembangan di rantau itu bukan sahaja mengundang kebimbangan, malah turut dikaitkan dengan cadangan mengisytiharkan darurat.
Menurutnya, isu berkenaan tidak sepatutnya dipolitikkan kerana pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong sekiranya negara benar-benar berdepan ancaman serius terhadap keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam.
“Darurat bukan alat politik untuk mengelak tanggungjawab kepada pengundi atau mengganggu proses demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dikatakan akan membawa usul untuk menangguhkan PRN berkenaan ke Mesyuarat MKT yang akan diadakan Jumaat ini di Melaka, berikutan krisis Asia Barat.
Menurutnya, keadaan semasa dilihat kurang sesuai untuk mengadakan pilihan raya ketika rakyat masih berdepan pelbagai kesan ekonomi termasuk isu harga bahan api.
Namun Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan, cadangan tersebut adalah pendapat peribadi dan bukannya pendirian atau keputusan parti.
Dalam pada itu Yee Fung menjelaskan, sejarah negara menunjukkan darurat hanya diisytiharkan dalam krisis besar seperti Konfrontasi Indonesia–Malaysia, Peristiwa 13 Mei, krisis Perlembagaan Sarawak serta pandemik Covid-19, dan bukannya disebabkan cabaran ekonomi atau krisis tenaga semata-mata.
Tambahnya, ketidaktentuan ekonomi global merupakan perkara biasa yang memerlukan kecekapan kerajaan dalam menguruskan keadaan dan bukan dijadikan alasan untuk melemahkan institusi demokrasi.





