
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan semua projek berkepentingan rakyat akan terus dilaksanakan meskipun berdepan cabaran kenaikan kos bahan binaan susulan ketidaktentuan geopolitik global.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelbagai pendekatan diambil bagi memastikan pelaksanaan projek tidak terjejas termasuk melaksanakan pelarasan skop kerja bagi projek tertentu.
Katanya, langkah itu melibatkan projek berskala kecil khususnya dalam kategori G1 hingga G4 seperti kerja penyelenggaraan jalan dan pembaikan.

“Bagi projek yang belum bermula, kita boleh meneliti untuk mengurangkan skop pelaksanaan seperti memendekkan jajaran kerja penyelenggaraan jalan.
“Namun, bagi projek yang sudah berjalan atau hampir siap, pelarasan sukar dilakukan kerana telah melepasi peringkat pelaksanaan,” katanya pada sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua negeri dan wilayah telah mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya serta kebanyakan projek kini berada dalam fasa pelaksanaan.
Nanta menambah, satu pelan tindakan segera akan diselaras bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan agensi berkaitan bagi memantau kesan kenaikan harga minyak terhadap kos pembinaan.
Jelasnya, antara komponen yang terjejas termasuk bahan api, bitumen, keluli, simen serta kos logistik.

“KKR akan terus memantau pelaksanaan projek dan mencari kaedah terbaik bagi memastikan tiada projek terpaksa dihentikan.
“Kita berharap semua projek dapat diteruskan tanpa sebarang penangguhan,” ujarnya.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 855 projek di bawah JKR giat dilaksanakan di seluruh negara.
Nanta memaklumkan seramai 28,000 pengguna direkodkan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) di sembilan plaza tol.
“Sejak Januari 2026, lebih 400,000 transaksi direkodkan sekali gus menunjukkan perkembangan positif penggunaan sistem berkenaan.
“Tiada isu teknikal dilaporkan dan operasi berjalan lancar, malah pelaksanaannya akan terus diperluaskan,” katanya.






