
KULAI: Kenaikan kos diesel akibat krisis tenaga global dijangka menambah kelewatan projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, daripada 855 projek Jabatan Kerja Raya (JKR), satu pertiga lewat dan jumlah ini dijangka meningkat kerana sektor ini sangat bergantung pada diesel untuk jentera berat.
“Sebab semua kenderaan yang membuat jalan itu menggunakan diesel… jadi industri ini memang mengikut harga pasaran dan itulah keluhan utama mereka.
“Yang terjejas ialah penyelenggaraan jalan dan pembinaan jalan baharu, manakala bagi pembinaan bangunan, mereka masih boleh menghabiskan bahan binaan sedia ada. Namun dengan keadaan semasa, kita bimbang kategori projek lewat ini akan bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke JKR Daerah Kulai di Pejabat Jurutera Daerah Kulai hari ini.
Ahmad berkata, pihak industri menganggarkan kenaikan kos antara 30 hingga 40 peratus, namun kerajaan tidak mahu bergantung kepada angka tersebut tanpa pengesahan data yang lebih tepat.
Justeru katanya, Kementerian Kerja Raya kini sedang mendapatkan data rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menentukan kadar sebenar kenaikan harga bahan binaan.
Selain itu, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa persatuan kontraktor termasuk Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf) serta persatuan kontraktor mekanikal bagi mendapatkan maklum balas industri.






