
KUALA TERENGGANU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak agar tidak lagi memanjangkan polemik berhubung dakwaan penghantaran diesel ke Filipina.
Beliau menjelaskan, urusan berkenaan sebenarnya melibatkan transaksi syarikat antarabangsa, Vitol, yang beroperasi di Pengerang dan bukannya entiti milik Malaysia.
“(Ia) bukan syarikat PETRONAS dan ia memang ada perjanjian membawa minyak (untuk) jual ke Filipina. Bukan kita bagi (minyak) kepada Filipina. Tapi, kita tidak menahan. Kita bagi laluan. Minyak (milik) orang dalam perjanjian asing.
“Itu yang kita lalui walaupun (berlaku) sedikit kontroversi. Saya harap hentikanlah kontroversi ini dan tumpu untuk bangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Madani YAB Perdana Menteri bersama Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga kesal kerana ada pihak yang tidak berterima kasih apabila kerajaan terus mengekalkan subsidi minyak kepada rakyat.
“Dengan keadaan sekarang, tentunya kita terpaksa buat pilihan. Berapa untuk subsidi minyak yang kita bagi, itu pun tak pernah ada orang terima kasih.
“RON95, dahulu subsidi RM700 juta kini dia jadi lima bilion ringgit satu bulan, tak termasuk diesel (tetapi) ada yang marah dengan (kenaikan harga) diesel,” katanya.






