
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal memperkenalkan inisiatif Menu Kasih Siswa dalam masa terdekat, dengan fokus utama menyediakan makanan pada harga lebih mampu milik dalam usaha meringankan kos sara hidup pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, berkata langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh aspek kebajikan pelajar, selaras dengan pendekatan yang sudah dilaksanakan di kebanyakan universiti.
Beliau turut menegaskan pengusaha kafeteria perlu lebih peka terhadap kemampuan pelajar terutama golongan daripada keluarga berpendapatan rendah agar memperoleh akses kepada makanan yang berpatutan.
“Terdapat beberapa kategori institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk universiti milik kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang majoriti pelajar terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana serta rendah.
“Banyak universiti dalam negara ini mempunyai program kebajikan masing-masing dan kita yakin mereka akan mengambil kira keadaan pelajar dalam menentukan harga makanan,” katanya selepas Majlis Pencapaian dan Halatuju Celik MADANI di Menara Merdeka 118, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, KPT tidak memandang ringan potensi kenaikan harga makanan dan minuman di kafeteria IPTA susulan peningkatan kos bahan api akibat konflik di Asia Barat.
Zambry berkata, pemantauan rapi sedang dilakukan bagi memastikan sebarang kenaikan tidak membebankan pelajar.
“Kementerian juga telah mengadakan perbincangan bersama pimpinan pelajar termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), yang sebelum ini membangkitkan isu tersebut di beberapa institusi.
“Bagi IPTA, pemantauan dilaksanakan secara berterusan melalui pihak pengurusan universiti khususnya di peringkat Naib Canselor bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Di peringkat universiti awam, Zambry berkata, KPT sentiasa memantau berdasarkan pemerhatian yang dibuat oleh pihak universiti.
Beliau menambah, universiti swasta pula, kementerian sudah memaklumkan kepada mereka supaya mengambil kira keadaan semasa dan mempertimbang tidak menaikkan harga makanan.
Mengulas tindakan terhadap pengusaha atau institusi yang berdegil menaikkan harga, beliau menegaskan kementerian akan terus mengadakan perbincangan dua hala dan menyalurkan maklum balas kepada pihak terbabit.
“Jika mereka tidak dapat bekerjasama, mereka juga memahami bahawa perkara ini melibatkan kebajikan pelajar dan kita akan memastikan semua pihak mengambil tanggungjawab bersama,” katanya.






