
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang pemandu bas ekspres didakwa memandu dalam keadaan berbahaya dengan seorang wanita duduk di atas ribanya.
Rakaman video dipercayai dirakam oleh penumpang bas itu menunjukkan wanita berkenaan memegang stereng sambil duduk di atas riba pemandu ketika kenderaan berkenaan bergerak.
Satu lagi video berasingan yang turut tular dipercayai dirakam menggunakan kamera papan pemuka oleh kenderaan lain, menunjukkan bas tersebut bergerak dalam keadaan trafik.
Berdasarkan perkongsian dalam media sosial, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan ke Kulai ketika kejadian berlaku.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan segera sudah diambil sejurus video tersebut tular.
“Siasatan dijalankan serta-merta dan pemandu serta syarikat bas yang terlibat sudah dikenal pasti.
“Pemandu berkenaan sudah dipanggil untuk dirakam keterangan pagi ini,” katanya.
Menurut beliau, kes tersebut akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ sebaik sahaja siasatan selesai bagi tindakan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pejabat JPJ berhampiran.
“Semua pengguna jalan raya khususnya pengusaha kenderaan komersial diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.
“Ini penting bagi menjamin keselamatan semua pengguna dan mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa,” katanya.







