
KOTA BHARU: Seorang guru wanita yang dipercayai merempuh dua pelajar di hadapan surau sebuah sekolah sehingga mengorbankan seorang pelajar perempuan tingkatan satu, direman selama dua hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 57 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu guru terbabit di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian pukul 1.50 tengah hari itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu wanita berkenaan dan dua pelajar perempuan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tersalah menekan pedal minyak sehingga kenderaan itu terbabas sebelum melanggar kedua-dua mangsa.
“Akibat kejadian itu, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di hospital,” katanya.
Dalam pada itu, sebuah firma guaman menawarkan khidmat nasihat undang-undang secara percuma (pro bono) kepada keluarga pelajar berkenaan.
Tawaran itu dibuat menerusi Tetuan Irmohizam Rosley dan Nik Adli bagi membantu keluarga mangsa memahami proses perundangan serta memastikan kebajikan mereka terus terbela.
Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan berkata, khidmat sama turut ditawarkan kepada pemandu terlibat iaitu seorang guru di sekolah berkenaan.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan hak semua pihak, termasuk guru terbabit sebagai individu yang diuji, terus terpelihara di sisi undang-undang.
“Sebagai pengamal undang-undang jenayah, saya terpanggil untuk memberi perspektif lebih menyeluruh, bukan sahaja dari sudut perundangan, tetapi juga moral dan kemanusiaan.
“Bagi memastikan keadilan kepada semua pihak serta mengelakkan keadaan menjadi keruh, kami menawarkan khidmat nasihat percuma kepada kedua-dua pihak,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata, khidmat itu merangkumi nasihat di peringkat awal siasatan sehingga kepada proses pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negeri dan perbicaraan di mahkamah sekiranya ada pertuduhan.
Ujarnya, inisiatif tersebut juga bertujuan menjadi penghubung antara kedua-dua pihak agar tidak wujud campur tangan pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan daripada tragedi berkenaan.
Beliau menjelaskan kes berkenaan berbeza daripada kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk atau lumba haram yang sering menjadi perhatian umum.
Katanya, di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun jika sabit kesalahan, namun setiap kes perlu dinilai berdasarkan fakta dan latar belakang tersendiri.
“Persoalannya, wajarkah seorang pendidik yang telah lama berkhidmat dipenjarakan bagi satu kesilapan yang berlaku tanpa niat jenayah.
“Kami berpandangan penjara seharusnya untuk penjenayah tegar, bukan mereka yang diuji dengan kecuaian sekali seumur hidup,” katanya.







