
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan hukuman mati dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) bagi kes membabitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, undang-undang sedia ada sudah mencukupi termasuk membolehkan kes serius didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika memenuhi elemen kesalahan membunuh.
Menurut beliau, Malaysia juga sudah menghentikan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi beberapa kesalahan berat dan kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenalkannya semula.
“Setakat ini, kerajaan sudah menghentikan hukuman mati mandatori, jadi perkara ini bukan dalam pertimbangan kami,” katanya selepas menghadiri program keselamatan jalan raya di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, hukuman bagi kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah mungkin perlu diperketatkan walaupun pindaan telah dibuat pada tahun 2020.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut menggesa kerajaan mempertimbangkan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Beliau berpendapat undang-undang sedia ada masih gagal menjadi pencegah, merujuk kepada beberapa kes kemalangan maut berulang termasuk insiden di Klang yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.
Pada 29 Mac lalu, seorang penghantar makanan, Amirul Hafiz Omar maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan pemandu yang disyaki mabuk di Jalan Raya Barat, Klang.
Anthony berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh APJ bagi memastikan keluarga mangsa menerima pampasan tanpa perlu melalui proses sivil yang panjang dan membebankan.
“Apa yang kita pinda adalah untuk memastikan ada pampasan kepada keluarga mangsa.
“Jika didapati bersalah, selain hukuman penjara dan denda, pesalah juga perlu bertanggungjawab membayar pampasan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Katanya, cadangan tersebut dikemukakan memandangkan proses tindakan sivil sedia ada adalah rumit, memakan masa serta melibatkan kos yang tinggi.
“Daripada keluarga mangsa perlu mengambil tindakan sivil, lebih baik kita tambah peruntukan dalam undang-undang supaya pampasan boleh diberikan terus,” katanya.
Menurut beliau, pindaan terhadap APJ kini sedang dirangka bersama Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.






