
CYBERJAYA: Ekonomi Malaysia terus mencatat prestasi kukuh apabila Anggaran Awal KDNK suku kedua 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pertumbuhan itu meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi negara meskipun berdepan tekanan geopolitik.
“Dari segi angka, sudah pasti kita menyambut baik apabila pertumbuhan itu mencatatkan 5.8 peratus berbanding 5.4 peratus pada suku pertama. Apabila kita tengok, pertumbuhan ekonomi itu berdasarkan asas daripada yang lepas.
“Pada masa sama, ia juga memberi gambaran intervensi yang kita lakukan dapat meredakan kebimbangan atau gangguan yang sangat ketara dari segi kegiatan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Libat Urus Ekosistem Pemula Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU): Suara, Visi dan Aspirasi di sini hari ini.
Dalam laporan Anggaran Awal KDNK bagi Suku Kedua 2026 hari ini, DOSM mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.
DOSM memaklumkan prestasi itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mencatatkan penguncupan.
Akmal Nasrullah berkata, pencapaian tersebut turut mencerminkan keberkesanan intervensi kerajaan dalam mengurus impak ketegangan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada bekalan minyak, harga serta potensi gangguan bekalan input.
Beliau berkata, sejak awal berlakunya konflik, kerajaan sentiasa menilai perkembangan situasi melalui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan secara mingguan.
Antara keputusan utama MTEN adalah memastikan bekalan minyak negara tidak terjejas, mengurus harga supaya tidak membebankan rakyat dan melaksanakan intervensi bagi mengelakkan penutupan mana-mana industri akibat gangguan bekalan input, katanya.







