
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mencabar kesahihan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran gabungan itu serta memohon penangguhan pelaksanaannya sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung perkara berkenaan Khamis ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu akan mengambil tindakan sewajarnya melalui saluran undang-undang bagi mencabar keputusan berkenaan.
Beliau turut menggesa Peguam Negara memberikan penjelasan mengenai tindakan ROS itu, termasuk pendirian pihaknya ketika pendengaran permohonan penangguhan PN di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.
Menurutnya, keputusan membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober, hanya dua hari sebelum pendengaran berkenaan, menimbulkan persoalan mengenai tujuan tindakan itu serta penghormatan terhadap proses kehakiman.
“PN akan mencabar kesahihan perintah pembatalan dan memohon supaya pelaksanaan serta kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, ROS mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dan dokumen dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.
Takiyuddin berkata, permohonan yang akan didengar Khamis ini turut melibatkan kepentingan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November depan.
Beliau mendakwa tindakan itu berpotensi menjejaskan pilihan pengundi yang mahu memberikan sokongan kepada PN, namun menyerahkan perkara berkenaan untuk diputuskan mahkamah.
“Kita juga membela hak rakyat Melaka yang mahu PN. Itu satu lagi aspek yang ditekankan oleh PN, bukan hanya mementingkan kepentingan Perikatan Nasional sahaja, tetapi juga kepentingan rakyat jelata, khususnya rakyat negeri Melaka,” katanya.
Takiyuddin berkata, Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 membolehkan pihak yang terkilan dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan.
Beliau menegaskan, parti-parti komponen PN kekal bersatu untuk mempertahankan hak serta mandat rakyat melalui saluran perundangan dan proses demokrasi.







