
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, esok, berhubung kes kecederaan membabitkan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada 28 September lalu.
Menurut sumber yang dilaporkan Berita Harian, Shuhaily akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berkenaan.
Pada 17 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, AGC meminta beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap kertas siasatan berkenaan sebelum keputusan lanjut dibuat.
Katanya, polis masih melengkapkan siasatan bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan AGC, termasuk meneliti keterangan saksi dan maklumat yang dikumpulkan sepanjang siasatan.
“AGC perlu berpuas hati sepenuhnya dengan hasil siasatan sebelum membuat keputusan. Biasanya, jika tidak berpuas hati, AGC akan memulangkan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution berkata, polis diarahkan melengkapkan siasatan mengikut keperluan yang ditetapkan AGC.







