
NILAI: Cabaran utama reformasi negara bukan berpunca daripada kekurangan teknologi atau kepakaran, sebaliknya sikap segelintir pihak termasuk golongan elit yang masih enggan berubah dan mempertahankan budaya rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman mentadbir kerajaan selama lebih tiga tahun menunjukkan usaha memperkukuh tatakelola serta membanteras rasuah sering mendapat tentangan daripada pihak yang selesa dengan amalan lama.
Beliau berkata, walaupun langkah itu mungkin tidak popular, kerajaan akan terus melaksanakannya bagi mewujudkan sistem pentadbiran yang lebih telus, berintegriti dan berkesan.
“Apabila kita berusaha membetulkan sistem dan menghapuskan budaya rasuah yang dianggap biasa, di situlah muncul penentangan terhadap perubahan.
“Mereka mungkin moden dari segi pakaian dan gaya hidup tetapi keengganan untuk berubah tetap wujud kerana perubahan akan mencabar kedudukan serta kebiasaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar dan Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik (KPT) di Bandar Enstek, di sini, hari ini.
Anwar turut memberi contoh amalan penyelewengan pemberian kontrak sesuatu projek sepatutnya bernilai RM400 juta meningkat kepada RM500 juta akibat unsur komisen.
Beliau menegaskan perkara itu bukan dakwaan semata-mata tetapi telah didedahkan menerusi pelbagai laporan.






