
KUALA LUMPUR: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) komited memastikan seni ikatan destar dan hiasan kepala tradisional pelbagai kaum di negara ini terus dipelihara daripada ditelan arus pemodenan menerusi penganjuran Program Pesona Destar 2026.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, seni pembuatan, pemakaian dan penghayatan terhadap destar serta hiasan kepala tradisional semakin kurang dikenali, khususnya dalam kalangan generasi muda, sekali gus menuntut usaha berterusan bagi memastikan warisan berkenaan terus kekal lestari.
“Jabatan Muzium Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan Program Pesona Destar 2026 sebagai platform pendidikan, dokumentasi, perkongsian ilmu dan pemindahan pengetahuan supaya warisan budaya pelbagai kaum ini terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya pada majlis perasmian Program Pesona Destar 2026 di Muzium Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata, seni ikatan dan hiasan kepala tradisional bukan sekadar pelengkap busana, malah mencerminkan identiti, sejarah, nilai serta kreativiti masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, dengan setiap kaum memiliki bentuk, fungsi dan falsafah yang tersendiri mengikut adat, kepercayaan serta cara hidup masing-masing.
Katanya, walaupun program itu berteraskan destar sebagai warisan penting masyarakat Melayu, Pesona Destar 2026 turut mengangkat seni ikatan dan hiasan kepala tradisional masyarakat Orang Asli serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak sebagai lambang kepelbagaian budaya negara.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen Jabatan Muzium Malaysia dalam memelihara dan memperkenalkan warisan budaya secara inklusif, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat kepelbagaian sebagai asas perpaduan negara,” katanya.
Menurut beliau, muzium pada hari ini tidak lagi hanya berfungsi sebagai tempat menyimpan artifak, sebaliknya berkembang menjadi pusat pembelajaran, penyelidikan, perkongsian ilmu dan pemerkasaan identiti budaya negara melalui pelbagai program yang mendekati masyarakat.
Beliau berkata, usaha memelihara warisan budaya bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak agar nilai tradisi, ilmu dan kemahiran warisan dapat diperturunkan kepada generasi akan datang sebagai khazanah yang tidak ternilai.

“Saya berharap program ini bukan sahaja memupuk rasa bangga terhadap warisan bangsa, malah mampu menjana peluang ekonomi kepada penggiat seni dan usahawan produk warisan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, program itu membuktikan muzium bukan sekadar tempat menyimpan khazanah sejarah, sebaliknya berperanan sebagai ruang pembelajaran, dialog budaya dan pemangkin kepada perpaduan nasional.
“Program ini membuktikan bahawa peranan muzium sebagai ruang pembelajaran, dialog budaya dan pengukuhan perpaduan masyarakat dapat diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata, perpaduan yang kukuh tidak hanya dibina melalui dasar serta polisi kerajaan, malah lahir daripada sikap saling mengenali, menghormati dan menghargai budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Perpaduan yang kukuh tidak hanya dibina melalui dasar dan polisi, tetapi juga melalui rasa saling mengenali, menghormati serta menghargai budaya antara masyarakat berbilang kaum,” katanya.






