
BANGI: Peningkatan hutang kerajaan ketika ini bukan berpunca daripada perbelanjaan secara berlebihan, sebaliknya disebabkan komitmen membayar faedah serta melangsaikan hutang lama termasuk yang berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan berdepan tekanan untuk melaksanakan pelbagai langkah popular seperti menambah subsidi diesel dan petrol yang dianggarkan menelan kos RM40 bilion setahun, namun tindakan itu hanya akan menambahkan lagi beban hutang negara.
“Kalau hendak turunkan lagi harga minyak dan diesel memang boleh, tetapi siapa yang hendak bayar? Saya tidak mahu terus berhutang sehingga hutang kerajaan terus berlonggok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan ketika ini berusaha mengurangkan beban hutang yang diwarisi, namun jumlah keseluruhan hutang masih meningkat berikutan kos faedah yang tinggi serta komitmen membayar pinjaman terdahulu.
“Realitinya kita sedang membayar hutang lama. Hutang 1MDB, kerajaan hari ini yang perlu jelaskan. Orang kata saya sering mengungkit perkara lama, tetapi hakikatnya kami yang menanggung dan membayarnya sekarang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan keadaan sama berlaku dalam usaha memulihkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang terkesan akibat salah urus serta keputusan pelaburan yang merugikan pada masa lalu.
Menurutnya, kerajaan kini menanggung komitmen kewangan Felda berjumlah kira-kira RM918 juta setahun bagi memastikan agensi itu terus dipulihkan.
Anwar menegaskan, masalah yang berlaku bukan berpunca daripada faktor kaum, sebaliknya disebabkan kelemahan tadbir urus, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah oleh individu yang diamanahkan menguruskan institusi berkenaan.
“Bukan soal kaum. Ramai penjawat awam Melayu yang berintegriti dan pernah mengurus Felda dengan baik. Masalah timbul apabila berlaku salah guna kuasa dan campur tangan pihak tertentu sehingga akhirnya kerajaan terpaksa menanggung bebannya,” katanya.
Beliau berkata, walaupun terdapat segelintir penjawat awam yang terbabit dalam salah laku, majoriti daripada mereka menjalankan tugas dengan penuh amanah dan sentiasa mahu melihat negara ditadbir secara cekap, berintegriti serta bebas daripada rasuah.
“Mesej kita jelas, iaitu kecekapan, akhlak dan tadbir urus yang baik. Berdasarkan pengalaman saya, ramai penjawat awam mahu melihat negara ini terus maju tanpa dicemari pengkhianatan dan sifat tamak segelintir pihak,” katanya.







