
BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf sekiranya cara penyampaiannya ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam ditafsir sebagai terlalu keras atau tegas.
Beliau berkata, gaya percakapannya mungkin dianggap kurang sesuai oleh sesetengah pihak memandangkan beliau kini memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan, malah ada yang menasihatinya supaya merendahkan nada ketika berucap.
Menurut Anwar, beliau sudah cuba mengawal cara penyampaian, namun sukar berbuat demikian apabila menyentuh perkara yang melibatkan hati nurani, amanah dan kepentingan rakyat.
“Ramai yang beritahu saya, tidak boleh bercakap dengan nada tinggi kerana saya sudah menjadi Perdana Menteri. Saya cuba, tetapi apabila bercakap tentang perkara yang menyentuh hati dan perasaan, saya perlu bersuara.
“Saya mohon maaf jika ia dirasakan tidak sesuai bagi seorang Perdana Menteri. Mungkin ada yang beranggapan seorang Perdana Menteri perlu sentiasa tenang, tetapi saya tidak begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah, Universiti Islam Selangor (UIS), di sini hari ini.
Anwar menjelaskan, ketegasan yang ditunjukkan bukan bertujuan memarahi penjawat awam, sebaliknya sebagai peringatan kepada pasukan yang menjadi tunjang pelaksanaan dasar dan agenda pembangunan negara.
“Jika itu dianggap sebagai satu kesilapan, saya memohon maaf. Namun percayalah, saya hanya meluahkan apa yang saya rasa. Dengan siapa lagi saya hendak berkongsi kebimbangan ini kalau bukan dengan pasukan saya sendiri yang membantu melaksanakan dasar kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam atas komitmen, dedikasi dan kecemerlangan mereka yang menjadi antara faktor utama kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI.
Menurutnya, walaupun Perdana Menteri sering menerima pengiktirafan apabila negara mencapai sesuatu kejayaan, hakikatnya segala pencapaian itu tidak mungkin direalisasikan tanpa kesungguhan dan profesionalisme warga perkhidmatan awam.







