
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad, 11 tahun lalu.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
“Selepas meneliti keseluruhan keterangan mahkamah ini memutuskan tertuduh berjaya membuktikan keraguan dalam kes ini dan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.
“Oleh demikian, mahkamah ini memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.
Zizie Izette yang juga isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, kelihatan sebak selepas mendengar keputusan tersebut.
Rosli dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan dikehendaki membuktikan semua elemen penting bagi kesalahan utama terhadap tertuduh pertama Bung Moktar yang telah meninggal dunia pada 5 Disember tahun lepas.
“Dalam kes ini, pertuduhan terhadap tertuduh pertama telah ditarik balik selepas beliau meninggal dunia, atas alasan tersebut elemen subahat tidak dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata tertuduh (Zizie Izette) juga didapati tiada pengetahuan mengenai pelaburan tersebut berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.
Menurut beliau, wang RM2.8 juta yang didakwa sebagai rasuah itu sebenarnya hanyalah bayaran pengenalan, bukannya rasuah memandangkan pembelaan tertuduh adalah selari dengan keterangan saksi pendakwaan ke-24 (Norhaili Ahmad Mokhtar) dan saksi pendakwaan ke-25 (Madhi Abdul Hamid).
“Oleh itu tertuduh tidak bersubahat dengan cara pakatan jahat atau konspirasi dan wang pengenalan bukan rasuah,” katanya



