
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan mengenai dua transaksi pemindahan dana berjumlah RM8 juta daripada akaun FashionValet Sdn Bhd ke akaun syarikat 30 Maple Sdn Bhd yang berlaku lapan tahun lalu.
Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Azizan Hassan, 45, berkata semakan terhadap penyata akaun CIMB Bank milik 30 Maple menunjukkan terdapat dua kemasukan wang berjumlah RM5 juta dan RM3 juta daripada akaun Public Bank milik FashionValet.
Beliau mengesahkan kedua-dua transaksi itu dilakukan secara dalam talian pada 21 Ogos 2018.
Saksi pendakwaan pertama itu menjelaskan transaksi pertama melibatkan pemindahan dana sebanyak RM5 juta yang direkodkan sebagai bayaran pendahuluan daripada FashionValet kepada 30 Maple.
Sebelum transaksi tersebut dilakukan, baki dalam akaun syarikat berkenaan adalah RM2,678,853.48.
“Pada hari sama (21 Ogos), telah berlaku satu lagi transaksi kemasukan wang sebanyak RM3 juta dengan deskripsi yang sama. Saya juga sahkan baki sebelum kemasukan wang berjumlah RM3 juta adalah RM7,678,853.48,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, yang didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta kepda syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Pasangan suami isteri itu turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang mendakwa mereka secara bersama dan tidak jujur menyalahgunakan dana pelaburan milik FashionValet daripada Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta di lokasi serta tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, selain sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Mengulas lanjut mengenai akaun 30 Maple Sdn Bhd, Azizan memaklumkan akaun semasa syarikat itu dibuka secara rasmi pada 11 Jun 2018 dengan Vivy dan Fadzarudin Shah, selaku pengarah syarikat, dinamakan sebagai penandatangan yang diberi kuasa.
Beliau juga mengesahkan semakan terhadap penyata bank syarikat bagi September 2018 mendapati terdapat pengeluaran dana berjumlah RM10,213,537.28 pada 3 September tahun sama.
Menurutnya, penyata tersebut turut merekodkan kemasukan wang sebanyak RM5 juta pada tarikh berkenaan, selain satu lagi transaksi pengeluaran RM5 juta pada 4 September 2018 yang dicatatkan sebagai pembayaran dividen interim kepada Fadzarudin Shah.
Keterangan itu diberikan Azizan ketika pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah.
Sebelum itu, peguam Datuk M. Athimulan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar prosiding soal balas terhadap saksi berkenaan ditangguhkan ke Jumaat ini kerana beliau sedang menjalani cuti sakit bermula hari ini hingga Rabu. Permohonan tersebut kemudiannya diluluskan oleh Hakim Rosli Ahmad.




