
KOTA BHARU: Polis Kelantan giat melengkapkan kertas siasatan membabitkan aktivis masyarakat, Abbe Hae, yang dikaitkan dengan dakwaan mengganggu ketenteraman awam serta isu berkaitan komuniti etnik Rohingya di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kertas siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja proses siasatan selesai bagi mendapatkan arahan lanjut.
“Setakat ini kita masih dalam proses melengkapkan siasatan dan apabila siap, kita akan hantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Semalam, polis membuka dua kertas siasatan berhubung isu tular membabitkan seorang aktivis media sosial serta satu lagi isu berkaitan komuniti etnik Rohingya di negeri ini.
Kedua-dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 341/268 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Bagi kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun yang membabitkan seorang individu daripada komuniti Rohingya.
Terdahulu, media melaporkan aktivis masyarakat, Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan, ditahan polis bersama 15 individu lain petang kelmarin.
Dia yang juga pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Bagaimanapun, semua individu terbabit dibebaskan pada pukul 12 tengah hari semalam.





