
KUALA LUMPUR: Malaysia menawarkan bantuan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan kira-kira 50 anggota bagi membantu Indonesia memadam kebakaran hutan serta tanah yang mencetuskan masalah jerebu di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghantaran aset dan anggota berkenaan bagaimanapun masih menunggu persetujuan rasmi daripada kerajaan Indonesia.
Beliau berkata, Malaysia bersedia menggerakkan bantuan itu sebaik menerima pengesahan berkenaan sebagai tanda komitmen negara dalam membantu jiran terdekat menangani bencana berkenaan.
“Bantuan kita sekecil mana pun merupakan satu gesture (isyarat) yang baik untuk membantu negara jiran yang terdekat. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengenai perkara ini.
“Kita komited untuk meneruskan bantuan ini bagi menangani masalah jerebu yang akhirnya sampai ke Malaysia, Singapura, Timor-Leste dan Indonesia sendiri,” katanya selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Terdahulu, Malaysia menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama agensi keselamatan lain menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah serta masalah jerebu yang melanda negara itu.
Prabowo juga dilaporkan meluluskan tawaran bantuan asing bagi menangani krisis berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan ancaman banjir selepas isu jerebu selesai ditangani.
Katanya, kerajaan mahu memastikan mangsa banjir dapat dipindahkan lebih awal menerusi pengoptimuman sistem amaran awal yang sedang dilaksanakan.







