
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membatalkan lesen perniagaan dan menyenarai hitam pemilik lesen dalam kalangan warga tempatan yang dikesan membenarkan warga asing menggunakan lesen mereka untuk menjalankan perniagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, tindakan tegas tanpa kompromi itu perlu bagi membendung kegiatan warga asing berniaga tanpa lesen yang masih berleluasa, khususnya di ibu negara.
Beliau berkata, DBKL turut diminta mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan lesen perniagaan yang dikeluarkan benar-benar digunakan oleh pemohon yang diluluskan.
“Kalau kita tahu dan mengesan warga Malaysia yang dapat lesen perniagaan tetapi dia ‘sub’ (memberikan lesennya) kepada warga asing, DBKL akan membatalkan lesen itu.
“Kita memang tidak akan berkompromi dengan perbuatan itu, malah kita terus senarai hitam pemilik lesen yang didapati berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berkaitan projek menaik taraf bilik multisensori pendidikan khas, mengecat bangunan sekolah dan menaik taraf gelanggang mini serba guna di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Sinar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai isu warga asing yang masih menjalankan perniagaan tanpa lesen di ibu negara, Hannah berkata, DBKL sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berkala bagi membanteras kegiatan berkenaan.
Katanya, tindakan terhadap warga asing yang berniaga tanpa lesen juga akan diteruskan tanpa sebarang kompromi.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh bertindak secara bersendirian kerana bidang kuasa mereka tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada.
Sehubungan itu, kerjasama antara agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperkukuh bagi memastikan tindakan lebih berkesan dapat diambil.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota penguat kuasa DBKL yang ketika ini masih terhad dijangka diperluas kepada hampir keseluruhan anggota menerusi peruntukan tahun depan.
Katanya, langkah itu bertujuan meningkatkan aspek keselamatan dan ketelusan sepanjang anggota menjalankan tugas penguatkuasaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut itu berkata, pejabatnya menyalurkan peruntukan sebanyak RM99,367 menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kuala Lumpur kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Sri Sinar.
Beliau berkata, peruntukan itu digunakan bagi membaik pulih dan menaik taraf bilik multisensori pendidikan khas serta kerja-kerja mengecat bangunan sekolah berkenaan.






