
WASHINGTON: Elon Musk mengumumkan rancangan untuk memberikan satu saham dalam syarikat angkasa lepasnya, SpaceX, kepada setiap kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) pada tahun depan, dalam langkah yang boleh bernilai lebih US$10 bilion, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Usahawan bilionair itu berkata menerusi platform media sosialnya, X, pada Isnin bahawa pemberian itu akan menjadi inisiatif pertama seumpamanya daripada “banyak lagi” yang dirancang, namun beliau tidak memberikan butiran mengenai cara rancangan itu akan dilaksanakan.
Menurut data banci terkini AS, terdapat lebih 70 juta penduduk berusia bawah 18 tahun di negara itu.
Berdasarkan harga saham SpaceX ketika ini, pengagihan satu saham kepada setiap kanak-kanak di AS akan menelan belanja lebih US$10 bilion.
Majalah Forbes menganggarkan kekayaan Musk ketika ini melebihi US$900 bilion, sebahagian besarnya terdiri daripada saham SpaceX dan pengeluar kereta elektrik Tesla, yang turut diterajuinya.
Pengumuman itu berkemungkinan didorong oleh langkah syarikat kecerdasan buatan (AI) pesaing, Anthropic, pada hujung minggu lepas yang mengumumkan bahawa syarikat itu akan memperuntukkan lima peratus daripada sahamnya ke dalam sebuah dana yang bertujuan memberikan manfaat kepada masyarakat.
Sebagai respons, Musk menulis kepada Anthropic menerusi X: “Saya mencadangkan agar saham itu diberikan secara langsung kepada orang ramai.”

SpaceX merupakan syarikat induk kepada xAI, syarikat kecerdasan buatan milik Musk.
Harga saham SpaceX melonjak pada mulanya selepas syarikat itu disenaraikan di pasaran saham pada Jun, namun sejak itu susut jauh daripada paras tertingginya yang melebihi US$200.
Saham itu kini didagangkan pada harga di bawah US$150, sementara penilaian syarikat pada kira-kira US$1.9 trilion terus menimbulkan persoalan.
Perniagaan roket SpaceX masih agak kecil berbanding nilai pasarannya, yang sebahagian besarnya mencerminkan jangkaan pelabur terhadap kejayaan masa depan dalam bidang kecerdasan buatan seperti yang dijanjikan Musk.
Bagaimanapun, SpaceX ketika ini masih jauh ketinggalan berbanding peneraju AI, Anthropic dan OpenAI, syarikat pembangun ChatGPT.






