
ISTANBUL: Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) pada Isnin mengenakan hukuman penggantungan selama 30 hari dan denda 255 euro (AS$286) terhadap Cristiano Ronaldo kerana meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan tanpa kebenaran susulan pertikaian dengan ketua jurulatih Jorge Jesus, lapor Anadolu Ajansi.
Majlis tatatertib persekutuan itu mengekalkan pertuduhan terhadap kapten berusia 41 tahun itu, yang meninggalkan kem latihan Portugal di Copenhagen pada 30 Sept lepas, sehari sebelum perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Denmark.
Dalam keputusannya, majlis itu mendapati Ronaldo sengaja melakukan kesalahan tatatertib mengikut Artikel 160(1) peraturan tatatertib persekutuan berkenaan.
“Berdasarkan perkara ini, keputusan dibuat untuk mengenakan penggantungan selama 30 hari, selain denda sebanyak 2.5 unit perakaunan, bersamaan 255 euro,” menurut persekutuan itu.
Ronaldo tertakluk kepada penggantungan sementara secara automatik sejak meninggalkan kem latihan pada 30 Sept. Persekutuan itu secara rasmi memulakan prosiding tatatertib pada 9 Okt dan mengenakan satu lagi penggantungan sementara, sebelum kes berkenaan dirujuk untuk siasatan pada hari berikutnya.
Bagaimanapun, pengumuman tindakan tatatertib itu tidak menjelaskan sama ada tempoh penggantungan sementara yang telah dijalani Ronaldo akan diambil kira sebagai sebahagian daripada hukuman penggantungan selama 30 hari berkenaan.
Tindakan Ronaldo meninggalkan kem latihan itu susulan perbezaan pendapat dengan Jesus mengenai peranannya dalam pasukan kebangsaan selepas beliau hanya berada di bangku simpanan tanpa diturunkan ketika Portugal menewaskan Norway 2-1 pada 27 Sept.
Dalam kenyataan panjang lebar susulan tindakannya itu, Ronaldo menuduh Jesus memungkiri janji berhubung masa permainannya, namun pada masa sama memohon maaf kerana meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan tanpa kebenaran.
Penyerang veteran itu berkata FPF seharusnya menentukan hukuman yang sewajarnya terhadap tindakannya dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempertimbangkan untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa. – BERNAMA-ANADOLU







