
KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menawarkan penempatan kepada mana-mana keluarga Orang Asli dari Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan tempat tinggal dengan berpindah ke tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.
Baginda turut menyatakan keprihatinan mendalam serta rasa dukacita terhadap isu pertikaian tanah yang sedang dihadapi oleh komuniti Orang Asli di kawasan tersebut.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, Tunku Azizah sentiasa mengambil tahu perkembangan berkaitan isu itu dan memahami kebimbangan serta cabaran yang ditanggung oleh penduduk terlibat.
Katanya, pada pandangan baginda, masyarakat Orang Asli bukan sahaja sebahagian daripada rakyat negeri ini, malah mempunyai kedudukan yang sangat dekat dan istimewa di hati baginda.
“Menerusi kajian tesis yang sedang disiapkan oleh baginda ketika ini, peranan Orang Asli adalah mustahak di dalam kemajuan negeri sejak dahulu lagi. Justeru itu kesejahteraan dan masa depan mereka sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh baginda.
“Demi perasaan kasih dan tanggungjawab itu, baginda dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.
“Baginda turut menegaskan bahawa masyarakat Orang Kita tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka. Sekiranya pada masa hadapan tanah milik baginda di Kuala Wau itu dibangunkan, baginda akan memastikan masyarakat Orang Kita yang menetap di situ akan terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan.
“Mereka akan terus dibela dan boleh tinggal di kawasan tersebut. Baginda juga menegaskan bahawa pelawaan ini tidak terhad kepada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran sahaja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, komuniti Orang Asli yang memerlukan tempat tinggal atau penempatan alternatif dialu-alukan untuk menetap di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran, tertakluk kepada peraturan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, Tunku Azizah berharap tawaran tersebut dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas, di samping memastikan kebajikan masyarakat Orang Kita sentiasa diberi perhatian dan dipelihara tanpa mengira latar belakang mahupun keadaan yang dihadapi.
“Pada masa yang sama, baginda menyeru semua pihak yang terbabit mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati dan berunding dengan penuh hikmah dalam mencari jalan penyelesaian yang adil, berhemah serta memelihara kepentingan semua pihak.
“Baginda turut berharap segala usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak-pihak berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian yang terbaik demi kesejahteraan masyarakat Orang Kita serta keharmonian negeri Pahang.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan mengurniakan jalan penyelesaian yang membawa kebaikan kepada semua pihak,” katanya.



