
SEREMBAN: Hasrat seorang pemuda memasang bendera parti sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bertukar tragedi apabila maut selepas dipercayai menjadi mangsa langgar lari di Jalan Kuala Sawah-Rantau berhampiran Kampung Belangkan, Rantau, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, mangsa berusia 23 tahun disyaki dilanggar sebuah lori yang kemudian meninggalkan lokasi tanpa berhenti memberi bantuan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman berkata, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu berada di bahu kiri jalan menghala ke Rantau bagi menjalankan kerja memasang bendera parti.
“Secara tiba-tiba sebuah lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti dipercayai melanggar tiang papan tanda sebelum merempuh mangsa yang berada di bahu jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu lori terbabit dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan dan pihak polis kini giat mengesan suspek serta saksi yang menyaksikan kejadian bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd. Zainuddin di talian 019-461 1794 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-603 3222, selain boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




