
CYBERJAYA: Perdana Menteri mempunyai hak mutlak membuat keputusan sama ada seseorang menteri atau anggota pentadbiran kerajaan perlu digugurkan daripada jawatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada keperluan untuk mana-mana menteri atau timbalan menteri meletakkan jawatan sekiranya Perdana Menteri mempunyai maklumat pelanggaran disiplin dalam kalangan anggota pentadbiran.
“Jadi kalau Perdana Menteri mengesyaki ataupun dapat maklumat yang benar, itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan tak perlu sesiapa pun meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di sini, hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara berkenaan akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, perkara berkaitan pelantikan dan pemecatan adalah hak prerogatif Perdana Menteri.






