
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming, yang dipercayai membabitkan akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipandang serius susulan aduan Khairul Aming yang menimbulkan persoalan mengenai akses pihak tidak sepatutnya terhadap data pelanggan dan sistem syarikat telekomunikasi.
“Saya sudah bertemu wakil syarikat telekomunikasi itu dan mereka memaklumkan sedang menghubungi saudara Khairul Aming.
“Saya juga akan meminta MCMC mendapatkan laporan penuh mengenai perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, di sini hari ini.
Terdahulu, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat bil telefon peribadinya boleh diketahui dan disebarkan oleh pihak lain di media sosial.
Beliau turut meminta penjelasan syarikat telekomunikasi berkenaan selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon peribadinya, termasuk tunggakan RM498 serta beberapa pembelian digital tambahan.
Fahmi berkata, penyebaran maklumat yang boleh mengenal pasti individu tanpa kebenaran merupakan kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi dan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang berdepan kejadian sama membuat laporan kepada MCMC bagi membolehkan rekod, maklumat dan bukti berkaitan dikumpulkan untuk tindakan lanjut.




