
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menumpukan usaha penyelenggaraan kepada Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang beroperasi melebihi 10 tahun, dengan perhatian khusus diberikan terhadap kerosakan serius yang boleh menjejaskan tahap keselamatan serta keselesaan penduduk.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, antara aspek yang diberi keutamaan ialah pembaikan lif, bumbung, tangki air dan sistem retikulasi, paip sanitari, pendawaian elektrik serta kerosakan lain yang membabitkan kemudahan dan harta bersama.
“Dengan peruntukan yang terhad, kementerian melaksanakan pertimbangan lebih terperinci dan bersasar dengan memberikan tumpuan kepada kerosakan yang lebih kritikal terhadap keselamatan dan keselesaan penghuni,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Sheikh Umar Bagharib Ali mengenai langkah tambahan bagi mempercepat penyelenggaraan rumah kos rendah, PPR dan bangunan strata yang uzur.
Aiman Athirah berkata, sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), KPKT memperuntukkan sebanyak RM159.1 juta menerusi Rolling Plan Pertama hingga Rolling Plan Kelima bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan PPR strata bertingkat di seluruh negara.
Menurut beliau, bagi tahun 2026, kementerian menerima 226 permohonan penyelenggaraan yang merangkumi 10 skop keutamaan dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM79.9 juta. Bagaimanapun, jumlah peruntukan yang diluluskan hanya RM44.6 juta atau kira-kira 56 peratus daripada nilai keseluruhan permohonan tersebut.
Sementara itu, beliau menjelaskan setiap permohonan penyelenggaraan yang dikemukakan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) perlu terlebih dahulu melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum dikemukakan kepada kementerian untuk pertimbangan.
Menurutnya, permohonan dibuka dari Ogos hingga Oktober setiap tahun, sebelum dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pemilihan Projek pada November dan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemilihan Projek pada Disember. Seterusnya, kelulusan akan dipertimbangkan oleh Pegawai Pengawal pada Januari.
Beliau berkata, keputusan kelulusan akan dimaklumkan kepada PBT pada Januari, manakala Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya pada April sebelum pelaksanaan projek bermula.






