
KOTA BHARU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga emas yang hilang sejak 10 Julai lalu, Rosnani Mahmood, 62, atau lebih dikenali sebagai Mok Ni.
Operasi diperluaskan dengan pencarian di Sungai Wakaf Stan melibatkan radius sejauh 6.6 kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai dilihat kali terakhir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Johari Ahmad berkata, operasi hari ini bermula pukul 9.30 pagi dengan tumpuan pencarian di permukaan sungai menggunakan empat bot termasuk sebuah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Empat bot termasuk milik polis digunakan dalam operasi hari ini dengan pencarian di permukaan sungai melibatkan radius sehingga 6.6 kilometer.
“Setakat ini masih tiada sebarang petunjuk ditemukan dan operasi berjalan lancar tanpa sebarang halangan,” katanya seperti yang dilapor Berita Harian.
Menurutnya, selain pencarian di sungai, anggota penyelamat bersama pihak berkuasa serta penduduk kampung turut menjalankan operasi di kawasan darat bagi mengesan keberadaan mangsa.
Katanya, walaupun masih belum menemui sebarang petunjuk baharu, operasi SAR akan diteruskan berdasarkan perkembangan semasa sehingga mangsa ditemukan.
Sebelum ini, media melaporkan Rosnani hilang sejak 10 Julai lalu selepas motosikal jenis Modenas Kriss miliknya ditemui berhampiran Sungai Wakaf Stan.
Wanita warga emas itu kali terakhir dilihat seorang pemancing pada petang 10 Julai berhampiran sungai berkenaan sebelum kelibatnya hilang, manakala motosikalnya ditinggalkan di lokasi terbabit.
Ahli keluarga memaklumkan Rosnani yang mesra dipanggil Mok Ni didakwa mengalami gangguan mistik sejak lebih sedekad lalu dan gangguan itu dikatakan semakin kerap berlaku sejak sebulan kebelakangan ini.
Pihak berkuasa ketika ini meneruskan siasatan dan operasi pencarian berdasarkan semua kemungkinan bagi mengesan keberadaan mangsa.






