
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan 11 negeri di seluruh negara sehingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan yang dijangka terjejas ialah seluruh Perlis dan Labuan, selain beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
Di Kedah, kawasan terlibat ialah Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling, manakala di Pulau Pinang membabitkan daerah Barat Daya serta Timur Laut. Di Perak pula, cuaca buruk dijangka melanda Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang serta Muallim.
Bagi Pantai Timur, amaran melibatkan daerah Jeli di Kelantan, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu di Terengganu, selain Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan di Pahang.
Di Negeri Sembilan, daerah Jelebu dan Kuala Pilah turut dijangka mengalami ribut petir serta hujan lebat.
Sementara itu, di Sarawak, kawasan yang terlibat ialah Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Di Sabah pula, amaran dikeluarkan melibatkan kawasan pedalaman Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan, selain kawasan Pantai Barat meliputi Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud serta daerah Tawau dan Semporna.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat petunjuk hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam (mm/jam) yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi tempoh satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah bagi tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terutama mereka yang berada di kawasan terbuka atau menjalankan aktiviti luar berikutan risiko banjir kilat, pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman web rasmi MetMalaysia atau aplikasi MyCuaca





