
LANGKAWI: Seorang aktivis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan merosakkan objek simbol agama Hindu di sebuah tapak kuil lama di Selat Panchor, Kuah, Mac lalu.
Tamim Dahri Abdul Razak, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merosakkan objek simbol agama Hindu iaitu tombak bercabang tiga atau soolam dengan mengetahui perbuatan memijak objek tersebut adalah satu penghinaan terhadap agama Hindu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tapak lama Kuil Sri Muniswarar, Selat Panchor, Kuah antara pukul 3.30 petang hingga 6.30 petang pada 8 Mac lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ain Nur Sofea Noridan memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan atas alasan tertuduh mempunyai risiko tinggi melarikan diri ke luar negara berdasarkan rekod perjalanan sebelum ini.
Namun, peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili Tamim memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin memandangkan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang boleh dijamin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin selain mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu.
Mahkamah turut menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sebelum ini, Tamim ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson selepas menyerah diri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini juga, polis memohon Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan dan membawanya pulang ke Malaysia selepas dipercayai berada di luar negara untuk mengelak siasatan.







