
KOTA TINGGI: Misteri kehilangan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun sejak Isnin lalu terungkai apabila mangsa ditemukan meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 8.2 Jalan Kluang-Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha 135LC pukul 2.30 pagi.
Menurutnya, mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Felda Simpang Waha pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu.
“Mangsa dipercayai menunggang motosikal secara bersendirian menuju ke rumah rakannya di Kampung Temenin Baru.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum dia mengalami kecederaan parah pada badan dan kaki serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Nasrulhaq hilang selepas kali terakhir menghubungi ahli keluarganya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pukul 4 pagi pada Ahad lalu.
Sejak itu, usaha mengesan remaja terbabit dijalankan sebelum jasadnya ditemukan dalam kejadian kemalangan awal pagi ini.







